Saturday 8 February 2014

TAJUK 6 : FRASA KERJA BAHASA MELAYU



Frasa Kerja dengan Kata Bantu

Terdapat dua jenis kata bantu iaitu kata bantu aspek dan kata bantu ragam.

Kata Bantu Aspek - Menerangkan waktu
Contoh :
- Sudah dilakukan: sudah,telah,pernah,baru.
                               Amir telah lulus ujian itu.
                               Dia baru keluar untuk makan tengah hari.
       
- Sedang dilakukan: sedang,masih,mula.
                                 Kakak sedang memasak di dapur.
                                 Pembeli mula membeli belah di pasar raya yang
                                 baru dibuka itu.

- Belum  dilakukan: belum,akan.
                                Adik belum sembuh sepenuhnya.
                                Polis akan menyiasat kes itu.

Kata Bantu Ragam - Menerangkan perasaan sesuatu perbuatan atau kerja.
Contoh : hendak, mahu, harus, boleh, dapat, mesti, harus mahu, mesti mahu, mesti dapat, harus hendak, mesti boleh.                                                                 
               Afiqah mungkin menyertai program motivasi itu.
               Kita harus berfikir sebelum bertindak.
               Jayanthy boleh berbahasa Melayu dengan baik.

Kehadiran kata bantu dalam ayat

Kata Bantu Aspek + Kata Bantu Ragam:
Adik belum hendak mandi lagi.

Kata Bantu Ragam + Kata Bantu Aspek:
Pemuda itu harus telah pergi ke kampung lain.

Frasa kerja dengan Ayat Komplemen

Frasa kerja yang mengandung inti kata kerja transitif boleh menerima ayat komplemen untuk membentuk ayat majmuk.

Frasa Kerja Transitif + Ayat Komplemen:
                   > Aina menafikan bahawa dia sudah berkahwin.  

Frasa kerja yang mempunyai inti kata kerja tak transitif juga boleh menerima ayat komplemen untuk membentuk ayat majmuk.

Frasa Kerja Tak Transitif + Ayat Komplemen
                   > Pesalah itu telah bersedia untuk menerima hukuman.
                  
Unsur Keterangan dalam Frasa Kerja

- Menerangkan kata kerja
- Hadir selepas objek
- Terdiri daripada kata sendi nama
- Frasa keterangan terbahagi kepada lapan iaitu:

     i.        Keterangan tempat atau arah - di, ke, dari, daripada, kepada, pada
Dia menunggu dari tadi.

    ii.        Keterangan waktu - pada, dalam, sejak, hingga
Pada waktu petang, Amani akan beriadah bersama keluarganya.

   iii.        Keterangan cara – dengan
Cikgu Aisyah menegur kesalahan Malik dengan lembut dan berhikmah.

  iv.        Keterangan tujuan atau harapan - demi, untuk, dan, bagi
Demi menampung keperluan anak-anaknya, ibu tunggal itu sentiasa bekerja keras mencari rezeki.

   v.        Keterangan alat – dengan
          Kami pulang ke kampung dengan menaiki bas.

  vi.        Keterangan penyertaan – dengan
Adli ke klinik dengan ayahnya.

 vii.        Keterangan hal - tentang, mengenai, tehadap
Aminah menulis rencana tentang gejala sosial di Malaysia.

viii.     Keterangan bagai - seperti, bagai, sebagai, bak
 Hubungan Mira dan Nadia bagai isi dengan kuku.

TAJUK 5 : FRASA KERJA BAHASA MELAYU



FRASA KERJA (FK)

Binaan Frasa Kerja
Frasa kerja boleh terdiri daripada satu atau beberapa perkataan dengan kata kerja sebagai intinya. Dalam ayat, frasa kerja wujud dalam predikat. Frasa ini terbahagi kepada dua jenis, iaitu frasa kerja transitif dan frasa kerja tak transitif. Binaan frasa kerja secara umumnya sama dengan kata kerja. Pembahagian jenis-jenis frasa kerja boleh diringkaskan seperti di bawah:
     Frasa Kerja Transitif
     Frasa Kerja Tak Transitif

Binaan Frasa Kerja Tanpa Objek

Kata Kerja Tak Transitif

Ø Tanpa pelengkap

Kata kerja yang mempunyai makna lengkap. Oleh itu, kata kerja ini tidak memerlukan pelengkap untuk berfungsi dalam ayat.
Contoh:  Semua pelajar beratur
               Mereka sekeluarga akan pulang

Ø Dengan pelengkap (berpelengkap)

·        Kata kerja tak transitif + pelengkap adjektif : Tenaganya menjadi lemah.

·        Kata kerja tak transitif + pelengkap FSN (tempat): Anaknya berada di kampung.

·        Kata kerja tak transitif + pelengkap KN : Sepupunya menjadi doktor.


Ø Dengan kata nama (KN) sebagai penerang


·        KN yang hadir selepas kata kerja tak transitif bukanlah objek kerana KN itu tidak boleh dijadikan subjek dalam ayat pasif, dan bukannya pelengkap kerana jika ditinggalkan KN itu tidak mencacatkan ayat, iaitu ayat tersebut masih boleh dianggap lengkap.                                                         
Contoh:  Abangnya berbaju batik.
              Pelajar itu belajar bahasa Arab.


Binaan Frasa Kerja dengan Objek

Kata Kerja Transitif

Ø Frasa kerja dengan satu objek

Kata kerja yang memerikan sifat sesuatu, iaitu kata kerja yang berasal daripada kata adjektif. Kata kerja ini  boleh disertai kata penguat, dan objeknya berupa pilihan, dan objek itu boleh digugurkan jika objek itu ialah kata ganti diri pertama.
Contoh:   Pemandangan itu amat mengasyikkan (saya) (aktif), amat  
               mengasyikkan (saya) pemandangan itu (songsang).

Ø Frasa kerja dengan dua objek

Frasa kerja yang mempunyai objek tepat dan objek sipi. Objek tepat ialah penyambut secara langsung, dan objek sipi ialah penyambut secara tidak langsung.
Contoh:   Ibu membeli anaknya pakaian (aktif),
               anaknya dibeli ibu pakaian (pasif),
               ibu membelikan pakaian untuk anaknya (aktif),             
               pakaian dibelikan ibu untuk anaknya (pasif).

Contoh di atas menunjukkan bahawa objek tepat sahaja yang dijadikan subjek dalam ayat pasif, iaitu menjadi unsur yang diterangkan, sedangkan objek sipi tidak boleh diberikan fungsi itu.




Bilangan dan Panggilan


BILANGAN DAN PANGGILAN

Kata bilangan berfungsi sebagai penerang dalam frasa nama dan boleh wujud di hadapan kata nama inti.

Contoh ayat:
 Tiga ekor ikan dipancing oleh Adi.
Segolongan kecil penduduk telah membersihkan kawasan luar rumah mereka.
 Kelima-lima peserta bersedia ke dewan pertandingan.
 Sekumpulan jururawat ditugaskan merawat mangsa kemalangan itu.
 Segelinitir pelajar memandang enteng terhadap peraturan sekolah.
 Sejumlah wang ditemui bersama perompak itu.
 Sebilangan besar guru telah menghadiri kursus itu.

Secara lebih khusus, kata bilangan boleh dibahagikan kepada enam kumpulan berdasarkan makna (Hashim Hj.Musa, 1993);
i. Kata bilangan tentu
ii.Kata bilangan tak tentu
iii.Kata bilangan  himpunan
iv.Kata bilangan pisahan
v.Kata bilangan pecahan; dan
vi.Kata bilangan tingkatan

Kata Bilangan Tentu
Kata bilangan yang mendukung makna tentu yang menjurus kepada bilangan khusus terdiri daripada angka yang boleh dilambangkan dengan simbol atau huruf abjad.
Contoh:  satu = 1         lima  =  V
             
Kata Bilangan Tak Tentu
Kata bilangan yang merujuk kepada jumlah bilangan yang tidak khusus .
Contoh:  Segala, semua , banyak ,sedikit, beberapa, sekalian, sekelompok.

Kata Bilangan  Himpunan
Kata bilangan yang merujuk kepada jumlah bilangan yang terhimpun atau terkumpul.
Contoh: berpuluh-puluh, berbelas-belas, beratus-ratus, beribu-ribu, kedua-dua, kelima-lima, kesemua.

Kata Bilangan Pisahan
Kata bilangan jenis pisahan merujuk kepada unsur pemisahan dalam proses memerihalkan bilangan yang menjadi dasar pokok pernyataan. Kata jenis ini juga adalah sejumlah perkataan yang menyokong makna bilangan yang terasing.
Contoh: masing-masing, setiap, tiap-tiap

Kata Bilangan Pecahan
Kata bilangan jenis pisahan merujuk kepada unsur pecahan atau pembahagian  daripada jumlah keseluruhannya.
Contoh: setengah, separuh, sepertiga, segelintir, sebahagian

Kata Bilangan Tingkatan
Kata bilangan tingkatan merujuk kepada  sejumlah perkataan yang mendukung makna taraf tingkatan bilangan.
contoh: pertama, kedua, ketiga , keseribu.

PANGGILAN / KATA PANGGILAN

Konsep panggilan ( kata panggilan) merupakan unsur frasa nama yang hadir sebelum kata nama inti ( Abdullah Hassan, 2008). Jenis-jenis kata panggilan lazim digunakan sebelum kata nama inti. Kata panggilan merupakan satu sistem yang digunakan dalam bahasa Melayu bagi tujuan penghormatan, pengiktirafan ataupun penentuan identiti secara lebih khusus.
Contoh:      Profesor Dr. Muhaya Mohamad
                   Tan Sri Zeti Akhtar Aziz       
                   Dato Siti Nurhaliza